PELAJAR PENGAJIAN ISLAM HARUS BUKA MATA.
- NUR AFIEQA RAHIM
- Jun 3, 2015
- 2 min read
NILAI – Para pelajar dari pengajian Islam harus membuka mata untuk tidak melepaskan peluang memohon tajaan biasiswa dalam bidang Perbankan Islam ke pusat pengajian International Centre of Education in Islamic Finance (INCEIF).
Menurut Dr. Eskandar Shah Mohd Rasid, Timbalan Dekan Pengajian Siswazah, INCEIF, para pelajar di bawah pusat Pengajian Islam berpeluang mendapat tajaan biasiswa dengan memenuhi syarat yang ditetapkan.
“Kami memberi peluang kepada pelajar dengan menyediakan pelbagai tajaan biasiswa untuk mereka dengan syarat mengekalkan CGPA sebanyak 3.00 ke atas,” ujar beliau.
“Kami membuka jalan kepada pelajar untuk menyertai kami dalam bidang Perbankan Islam kerana pasaran kewangan hari ini memerlukan pelajar yang mempunyai asas pembelajaran agama,” katanya ketika menyampaikan ceramah.
Perkongsian ini membuka mata para siswazah USIM bahawa mereka berpeluang untuk melanjutkan pengajian ke peringkat Sarjana dan peringkat Doktor Falsafah dalam bidang kewangan selepas menamatkan Ijazah.

Dr. Eskandar Shah Mohd Rasid (kanan) memberi penjelasan kepada para pelajar berkaitan dengan tajuk ceramahnya.
Antara bidang pengajian yang ditawarkan di INCEIF adalah Master of Science in Islamic Finance (MSc), Master in Islamic Finance Practice (MIFP) dan Doctor of Philosophy in Islamic Finance (PhD).
Menurut saudari Che Wan Ilmi Sobirin Che Wan Amran selaku setiausaha Syariah Law Club, Fakulti Syariah dan Undang-undang (SLC FSU) dalam satu ceramah yang disampaikan oleh Dr. Eskandar yang bertajuk ‘Furthering Your Studies In Islamic Finance’ kebanyakan pelajar tidak mengambil peluang untuk belajar dengan tajaan biasiswa.
“Ramai daripada pelajar Malaysia melepaskan peluang di tanah air sendiri untuk mendapatkan biasiswa khususnya daripada Bank Negara kerana mereka tidak tahu mengenainya dan menyebabkan wang yang diperuntukkan kepada mereka diberikan kepada pelajar dari luar negara yang menuntut di Malaysia.,” katanya.
“Dengan adanya program sebegini, INCEIF dapat memberikan penjelasan kepada mereka yang berminat dalam kewangan Islam untuk menyambung pelajaran mereka dengan pembiayaan biasiswa yang disediakan.” tambah beliau lagi.
Program yang bertempat di Dewan Kuliah Fakulti (DKF 1.1) berakhir pada jam 4 petang dengan penyampaian cenderahati.
Comments