Talian Persaudaraan Terbina dengan PERSADA
- Abdul Hafiz Hamzah
- May 10, 2015
- 2 min read
Nilai - Karnival jom ke stadium yang melibatkan sebanyak 20 Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) bagi memupuk minat bersukan malah membina pertalian persaudaraan dalam kalangan Mahasiswa seluruh Malaysia yang berlangsung baru-baru ini.
Universiti Malaya, Universiti Teknologi Malaysia, Universiti Malaysia Sarawak adalah antara universiti awam yang terlibat dalam karnival yang diadakan di Pusat Sukan Tunku Najihah, USIM baru-baru ini.
Program anjuran hasil kerjasama antara Felda United dengan Persatuan Siswa Siswi Felda (PERSADA) itu turut dimeriahkan dengan kehadiran barisan pemain industri terkenal tanah air seperti Black Mentor, Aidid Marcelo, Fazreen Rafi, Syed Aiman dan ramai lagi.

Aidid Marcelo, Syed Aiman dan Yassin antara barisan artis turun padang

Datuk Sri Utama Hj Mohd. Isa Dato Hj Abdul Samad bersama mahasiswa
Menurut Tn Hj Mohd Nasir Embong, pengerusi karnival, matlamat program ini adalah untuk menjalinkan hubungan yang erat dikalangan ahli-ahli persatuan PERSADA diseluruh universiti awam dengan pemain bola sepak Felda United.
“Tujuan kita menganjurkan karnival ini adalah untuk membentuk serta memupuk semangat kerjasama dan muhibbah dalam kalangan siswa dan siswi bagi melahirkan pelajar yang progresif ”, jelas beliau.
Pelbagai aktiviti menarik dilangsungkan sepanjang karnival tersebut dijalankan. Antaranya senamrobik, perlawanan bola jaring, futsal dan banyak lagi acara lain turut diadakan.
Sementara itu menurut Mohd Ikhsan Mohd Saad, wakil daripada ahli PERSADA USIM pula berkata, program karnival ini pertama kali diadakan di USIM dan karnival tersebut juga usaha yang baik untuk memajukan sukan.
“USIM dijemput menjadi tuan rumah sempena karnival pada tahun ini kerana adanya hubungan yang baik antara ahli PERSADA dengan Felda United.
“Usaha untuk memajukan sukan dalam negara perlu ada pada setiap mahasiswa terutamanya di USIM dan ini adalah salah satu program yang patut mereka libatkan diri,” jelas Ikhsan.
Sementara itu, bagi Nur Shahida Samsudin, yang juga salah seorang peserta daripada Universiti Sultan Zainal Abidin (UNISZA) mengatakan, ini adalah kali pertama beliau mengikuti program sebegini dan mendapat banyak manfaat daripadanya.
“ Saya mengharapkan agar program seperti ini tidak terhenti sampai setakat ini sahaja kerana ianya sangat baik dalam mengeratkan hubungan antara mahasiswi- mahasiswa seluruh universiti di Malaysia”, tambah Shahida lagi.
Karnival yang berlangsung selama sehari ini, diakhiri dengan acara kemuncak perlawanan bola sepak antara pasukan Felda United menentang pasukan barisan artis Malaysia dan dirasmikan oleh pengerusi FELDA, Y. B Tan Sri Datuk Sri Utama Hj Mohd. Isa Dato Hj Abdul Samad.
Comments