HUKUM DERMA DARAH KEPADA ORANG BUKAN ISLAM
- NOR AZLIN MOHMAD
- Jun 3, 2015
- 2 min read
Hukum mengenai pendermaan darah bukan lagi persoalan yang baru di Malaysia, malah masyarakat kini melihat perkara tersebut dari sudut yang positif. Pada hari ini,timbul di dalam fikiran segelintir orang Islam tentang hukum mendermakan darah kepada orang bukan Islam.
Berdasarkan muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia kali ke-4 yang bersidang pada 13 hingga 14 April 1982 telah membincangkan “Derma Darah dan Penggunaan Darah Orang Islam Kepada Orang Bukan Islam dan Sebaliknya” telah memutuskan bahawa yang pertama, menderma darah hukumnya harus. Yang kedua, tidak perlu diasingkan darah orang Islam daripada darah orang bukan Islam. Yang ketiga, penghargaan dalam bentuk bayaran kepada penderma darah adalah tidak digalakkan.
Berdasarkan rujukan dari Pusat Islam Universiti Utara Malaysia (UUM), hukum keharusan terhadap perkara ini juga didasarkan kepada kaedah Fiqhiyah yang mana “Keadaan darurat mengharuskan perkara yang dilarang”.
Firman Allah s.w.t yang bermaksud: “Dan tidaklah dijadikan ke atas kamu sebarang kesukaran dalam agama.”
Sementara ulama’ tersohor, Dr. Sheikh Yusuf al- Qardhawi juga pernah menyeru umat Islam di Amerika supaya menderma darah kepada orang ramai yang bukan Islam yang terlibat dalam serangan 11 September 2001 dahulu. Justeru, ini termasuk amalan yang baik kepada sesama manusia.

Gambar hiasan
Sehubungan dengan itu, di dalam Islam Allah tidak melarang kita membantu orang kafir yang tidak memerangi orang Islam, malah kita perlu menghulurkan bantuan ketika mereka memerlukannya.
Berdasarkan dalil al-Quran dalam surah Al- Mumtahanah ada menyebut “Allah tidak melarang kalian untuk berbuat baik dan berlaku adil terhadap orang-orang (kafir) yang tidak memerangi kalian kerana agama dan tidak mengusir kalian dari negeri-negeri kalian.”
Oleh itu, berpendapat bahawa tidak menjadi masalah kepada penderma sekiranya menderma darah mereka kepada orang kafir selagi mana ia mendatangkan manfaat kepada kedua-dua pihak.
Comments