USIMBIOSIS: BUKA MATA MASYARAKAT USIM
- Nor Azlin Mohmad
- May 13, 2015
- 2 min read
Nilai- Satu program dalam menjadikan USIM sebuah institusi yang bersih serta berekosistem membuka mata masyarakat USIM dalam melestarikan alam sekitar di bawah anjuran USIM’s Environmental Awareness and Sustainability Campaign (USIMBIOSIS) yang diadakan baru-baru ini.
Program yang dilancarkan ini adalah untuk member pencerahan kepada masyarakat USIM khususnya mahasiswa tentang pentingnya menjaga alam sekitar.
Dalam ucapan perasmiannya, Prof. Dato’ Dr. Musa Ahmad, Naib Canselor Usim, memberi pencerahan tentang pentingnya penanaman semula tumbuhan hijau bagi mengekalkan kestabilan ekosistem seterusnya mewujudkan persekitaran yang bersih di USIM.
“Program ini sangat bermanfaat untuk melestarikan alam sekitar khususnya di sekitar USIM, dalam usaha melahirkan warga yang menjaga dan mencintai alam sekitar.
“Penanaman semula pokok sangat penting, sepertimana hadith Rasulullah S.A.W menyebut, ‘sekiranya di tangan kamu ada benih kurma dan kamu tahu bahawa esok akan berlaku kiamat, maka hendaklah kamu menanam dan jangan biarkan hari kiamat berlaku tanpa menanam benih kurma tersebut,” tambah beliau ketika membicarakan tentang kepentingan penanaman semula.
USIM BIOSIS PUPUK SEMANGAT CINTAKAN ALAM SEKITAR
Selain itu, menurut salah seorang Arkitek Lanskap USIM, Mohd Farid Zakaria, berkata matlamat program ini tercapai dengan adanya respon positif daripada mahasiswa yang hadir.
“Alhamdulillah, matlamat program ini tercapai, seperti yang kita ketahui di USIM majoriti penghuninya adalah dari golongan pelajar, jadi kita dapat lihat sambutan yang menggalakkan dari para pelajar itu sendiri’, kata beliau ketika ditemu ramah.

Dato’ Musa bersama kakitangan dan para peserta menanam pokok sebagai simbolik perasmian program USIMBIOSIS.
Sementara itu, Siti Aishah binti Sulaiman, pelajar Fakulti Pengajian Bahasa Utama yang juga merupakan salah seorang peserta program tersebut berkata, mahasiswa perlu cakna terhadap keadaan alam sekitar bukan sahaja di USIM, malah juga di luar kampus.
“ Menjaga alam sekitar merupakan tanggungjawab bersama, justeru sebagai seorang mahasiswa, saya terpanggil untuk member sokongan serta dorongan untuk program yang sangat bermanfaat seperti ini,” kata Aishah.
Program yang berlangsung selama dua jam ini turut dihadiri pensyarah, kakitangan serta mahasiswa USIM dan berakhir dengan aktiviti menanam pokok di sekitar kawasan Dewan Kuliah Pusat 3.
Comments