PPPM 2015 SISTEM PENDIDIKAN SISTEMATIK
- Nor Azlin Mohmad
- May 14, 2015
- 2 min read

Pengarah Pendidikan Tinggi, Prof Datuk Dr Asma bt Ismail menyampaikan taklimat Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015
USIM- Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2015-2025 merupakan satu sistem baru dalam pendidikan bagi memastikan sistem pendidikan lebih sistematik, dalam satu taklimat yang diadakan di Dewan Kuliah Pusat 3, 14 Mei baru-baru ini.
Majlis pembentangan PPPM yang di bawa khas oleh Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Prof Datuk Dr Asma bt Ismail memfokuskan tentang peranan pihak USIM dalam menjana tenaga supaya menjad I salah satu pencetus dan bukan hanya sekadar pengikut semata-mata.
Menurut Dr Asma, PPPM ini merupakan pelan pendidikan yang akan dilaksanakan selepas berakhirnya Pelan Strategik Pendidikan Tinggi Negara (PSPTN) lewat tahun 2015 ini.
"Antara tujuan utama PPPM adalah untuk meningkatkan kualiti taraf pendidikan tinggi negara agar lebih kukuh dan mampu seiring dengan perubahan lanskap ekonomi global Negara kita," ujarnya.
Hal ini kerana, pendidikan merupakan salah satu bidang penting yang sesuai untuk menyuntik pertumbuhan ekonom inegara dalam mentransformasi Malaysia supaya menjadi negara maju berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020.
Prof Datuk Dr Asma bt Ismail juga mantan Naib Canselor Universit Sains Islam Malaysia menegaskan bahawa pelan ini bakal menentukan bentuk graduan yang bakal lahir berkesinambungan dari pelaksanaan pelan ini.
"Pelan ini akan menentukan bentuk graduan yang kita mahu lahirkan, selain menggilap bakat pelajar dan juga pensyarah," kata Datuk Dr. Asma lagi.
Datuk Dr. Asma turut membentangkan “blueprint” iaitu Pelan Pembangunan Pendidikan yang telah dibukukan melalui tayangan slide bagi menerangkan secara menyeluruh mengenai pelan tersebut.
Menurut beliau lagi, program lawatan keluar Negara serta GISO merupakan salah satu program yang berkesan dan perlu diteruskan kerana ia merupakan langkah yang bagus untuk membentuk dan melahirkan kemahiran dalam kalangan mahasiswa sebelum melangkah ke alam pekerjaan.
“Melalui program GISO dan Lawatan Antarabangsa, para pelajar dapat mendedahkan diri dengan aktiviti kemasyarakatan disamping menimba pengalaman dalam menguruskan sesebuah program” kata Prof Datuk Dr. Asma bt Ismail .
Sementara itu, beliau menerangkan Malaysia merupakan salah sebuah negara yang mempunyai pencapaian yang sangat baik dalam bidang pendidikan. Ini menunjukkan bahawa sistem pendidikan di Malaysia baik dan memuaskan sehingga dapat bernaung bersama-sama universiti di seluruh benua.
“Malaysia mempunyai lima universiti yang berada dalam lingkungan 100 teratas di Asia dan satu dalam 200 teratas dunia” jelas Dr. Asma lagi.
Antara universiti yang diutarakan adalah Universiti Malaya, Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Teknologi Malaysia, Universiti Sains Malaysia, Universiti Putra Malaysia, Universiti Sains Islam Malaysia serta Universiti Teknologi Mara.
Beliau juga turut member nasihat kepada mahasiswa Islam khususnya supaya menjaga hubungan sesama manusia sejagat dengan mengamalkan nilai-nilai murni serta menjaga hubungan dengan ALLAH S.W.T.
“Mahasiswa Islam perlulah beretika dan bermoral, mempunyai rohani yang kukuh, ihsan dan penyayang serta menghargai pembangunan lestari dan gaya hidup yang sihat” kata Dr. Asma.
Beliau turut memberi galakan kepada pelajar yang masih berpendidikan pra-sekolah hingga peringkat sekolah menengah supaya memupuk asas moral yang kukuh dalam diri serta berani membuat keputusan yang betul.
Comments