MAHASISWA PERLU TELITI DALAM MEMILIH KERJAYA
- NURUL AZWANI CHE MEH
- May 8, 2015
- 2 min read
NILAI – Memperoleh kerjaya yang sesuai dengan bidang yang diceburi merupakan impian bagi setiap mahasiswa.
Ketua Eksekutif (CEO) Bank Muamalat Malaysia Berhad, Dato’ Haji Mohd Redza Shah Abdul Wahid berkata mahasiswa seharusnya lebih teliti dalam memilih pekerjaan sesuai dengan bidang mereka.
“Pemilihan pekerjaan perlu diteliti sebaiknya dan bukan hanya sekadar tangkap muat sahaja,” kata beliau.
Tambah beliau, keyakinan dan motivasi yang tinggi dalam pemilihan sesuatu kerjaya perlu wujud agar mereka tidak salah membuat keputusan kerana ini adalah penentu masa hadapan mereka.
Beliau juga menceritakan keunikan Syarikat Bank Muamalat Malaysia Berhad yang mana setiap pekerja di syarikat itu mengamalkan bacaan Asma’ Ul Husna pada setiap minggu.
“Kesemua pekerja di Bank Muamalat membaca Asma’ Ul Husna pada setiap minggu dan ini menunjukkan bezanya Bank Muamalat dengan bank lain,” kata beliau.
Selain daripada menitikberatkan tentang pengurusan dan pentadbiran mengikut cara yang disyariatkan dalam Islam, Bank Muamalat juga mengamalkan sikap mesra pengguna kepada pelanggan seiring dengan nilai-nilai murni yang perlu diterapkan kepada setiap umat islam.

Dato’ Haji Mohd Redza Shah Abdul Wahid sedang memberi syarahan tentang islamic banking kepada mahasiswa.
Menurut Muhammad Akmal bin Muhammad Ridzuan, selaku Presiden Pentadbiran Korporat dan Perhubungan sesi 2014/2015, program ini dapat membuka minda pelajar tentang peluang-peluang pekerjaan khususnya dalam bidang Islamic Banking dan etika-etika pekerjaan yang perlu diketahui oleh setiap mahasiswa.
“Program ini diadakan bertujuan untuk memberi pengetahuan kepada mahasiswa khususnya pelajar korporat tentang peluang-peluang pekerjaan dalam Islamic Banking dan etika-etika pekerjaan semasa bekerja di bahagian-bahagian korporat selepas graduasi,” jelas beliau.
Program Syarahan Industri 2015, ”Job Opportunity in Islamic Banking” yang kali pertama diadakan bertempat di Dewan Kuliah Fakulti 1.1 (DKF 1.1) FEM melibatkan pelajar korporat tahun satu,dua dan tiga anjuran FEM yang dilaksanakan oleh ahli jawatankuasa Pentadbiran Korporat dan Perhubungan.
Comments