MATLAMAT UTAMA KEJOHANAN SUFA 2015
- NUR AFIEQA RAHIM
- Apr 25, 2015
- 2 min read
USIM - Pencarian atlet dan bakat baru merupakan matalamat utama Sukan Antara Fakulti (SUFA) yang dianjurkan Pusat Sukan Univesiti Sains Islam Malaysia (USIM) yang berlangsung dalam tempoh hampir sebulan bermula dari 4 April sehingga 25 April 2015 yang bertempat di Kompleks Sukan Tuanku Najihah.
Menurut En. Hamran selaku Pengarah Pusat Sukan USIM menyatakan bahawa kejohanan SUFA sepatutnya dijadualkan pada awal semester hadapan dan terpaksa diawalkan kerana terdapat beberapa kejohanan lain yang akan dipertandingkan. Antaranya kejohanan Majlis Sukan Universiti Malaysia (MASUM) dan Sukan Institusi Pengajian Tinggi (SUKIPT) yang melibatkan kesemua IPT di seluruh Malaysia.
Atlet-atlet setiap fakulti harus memberikan kualiti dan persembahan yang terbaik untuk melengkapkan pencarian atlet serta bakat baru dalam menyertai kejohanan MASUM dan SUKIPT yang bakal tiba tidak lama lagi.

En.Hamran (dua dari kiri) dalam sesi penyerahan trofi kepada pemenang SUFA 2015
“Pencarian bakat baru bagi mewakili USIM merupakan objektif utama dalam kejohanan SUFA pada kali ini. Langkah ini merupakan persediaan awal bagi menghadapi kejohanan MASUM dan SUKIPT yang akan berlangsung pada bulan Ogos hadapan,” katanya pada sesi temuduga.
Seharusnya bagi atlet yang berjaya mewakili USIM dalam acara MASUM dan SUKIPT tidak perlu berasa kuatir untuk kos penginapan di sana kerana kos tersebut akan di tanggung penuh oleh Pusat Sukan USIM dengan syarat mereka harus mengekalkan dan meningkatkan pencapaian mereka dalam kesemua acara yang mereka sertai.
“Pihak Pusat Sukan USIM menyediakan skim galakan iaitu sumbangan atau penghargaan kepada atlel-atlet USIM yang berjaya mewakili peringkat yang lebih tinggi. Skim ini akan menampung kos yuran penginapan secara percuma namun bergantung kepada pencapaian atlet tersebut,” jelasnya lagi.
Menurut Ahmad Taufiq Abd Shukor, Tahun 3, dari fakulti Pengajian Bahasa Utama, para atlet perlu menunjukkan bakat yang ada dalam diri bagi membuka mata pihak yang terlibat yang menilai pemilihan tersebut.
“Pertandingan SUFA yang diadakan merupakan salah satu peluang kepada para atlet USIM untuk menonjolkan diri mereka dalam semua acara yang dipertandingkan,” katanya.
Menurut salah seorang atlet dari Fakulti Ekonomi Muamalat, Nurul Izzati Roshidi berpendapat bahawa mereka tidak perlu rasa malu untuk menonjolkan bakat yang ada dalam diri mereka.
“untuk menjadi seorang atlet yang berkualiti mereka tidak harus miliki perasaan malu untuk menonjolkannya dan sentiasa mengekalkan prestasi dalam acara yang mereka sertainya,” ujarnya.
Comments